NAMA Kepulauan Siantan dan Kepulauan Jemaja memang cukup dikenali dalam beberapa kitab klasik Melayu. Di antara sekian banyak versi sejarah mengenai hubungan dunia Melayu dengan negeri China, salah satu di antaranya ada kesamaan antara Siantan dengan Pattani, Johor, Palembang dan Bangka.
Keempat-empat tempat itu, ramai mengatakan dan juga berupa tulisan yang meriwayatkan salah seorang putera Raja Cina melarikan diri ke negeri mereka. Putera Raja Cina yang dimaksudkan itu bernama Lim Tau Kian.
H. Amryn Helmi Yuda dalam kertas kerjanya berjudul Masuknya Islam ke Pulau Bangka, menulis, “Sejarah menyebutkan bahwa Wan Abduljabar adalah putra dari Abdulhayat, seorang kepercayaan Sultan Johor untuk memerintah di Siantan. Wan Abdulhayat ini semula adalah seorang pejabat tinggi Kerajaan China bernama Lim Tau Kian, yang kerana berselisih faham dikejar-kejar kemudian melarikan diri bersama isterinya sampai ke Johor. Di sini mendapat perlindungan daripada Sultan.
“Ia kemudian memeluk agama Islam dan menggunakan nama Abdulhayat. Karena keahliannya, ia kemudian diangkat oleh Sultan Johor menjadi kepala negeri di Siantan dengan Ce' Wan Abdulhayat”.
Dalam buku-buku penulisan moden tentang Patani juga disebut-sebut nama ‘Lim Tau Kian’ (Lim Tau Kin). Tetapi dalam semua manuskrip (klasik) ialah ‘Lim Tai Kim’. Riwayat Pattani diceritakan bahawa seorang anak Raja Cina bernama Lim Tai Kim/Lim Tau Kian untuk dilantik sebagai Kaisar Cina telah diuji dengan pelbagai kepandaian dan hampir semuanya lulus belaka.
Namun demikian, dia gagal ujian yang terakhir iaitu tinggal bermalam dalam suatu lopak yang di dalamnya penuh dengan lintah.
Lim Tai Kim/Lim Tau Kian sangat jijik dengan jenis binatang itu. Oleh kerana itu, dia tidak sanggup tinggal dalam lopak itu selama satu malam. Oleh kerana berasa malu, dia melarikan diri ke Pulau Siantan. Tiada berapa lama tinggal di Siantan dia berangkat ke Pattani, usianya pada masa itu ialah 22 tahun.
Di Pattani, dia masuk Islam, ditukar namanya dengan Ya’qub. Pelat orang Pattani dipakai nama ‘Aluk’ atau ‘Aquk’ atau ‘Aqub’ lama-kelamaan bertukar menjadi ‘Tok Aguk’.
Beliau berkahwin dengan salah seorang kerabat Diraja Pattani bernama Raja Cik Cahaya. Lim Tai Kim/Lim Tau Kian/Ya’qub dilantik sebagai Syahbandar untuk memungut cukai di Pelabuhan Kerisik, Pattani.
Menurut riwayat, dialah menjadi arkitek Masjid Kerisik dan dia juga yang membuat Meriam Seri Patani dan Seri Negeri. Berdasarkan sebuah salasilah keturunannya disebut bahawa Lim Tai Kim/Lim Tau Kian/Ya’qub meninggal dunia pada 976 H/1568 M. Kuburnya terletak di Tanjung Luluk/Tanjung Tok Aguk.
Demikian gambaran ringkas kisah Siantan yang bererti ada hubungan dengan tempat-tempat lainnya. Kepulauan Siantan yang terletak di Laut China Selatan itu termasuk dalam gugusan kepulauan Indonesia yang paling utara. Ia terletak di antara Malaysia Barat dan Malaysia Timur atau termasuk antara Malaysia Barat dengan Brunei Darussalam.
Di antara tokoh ulama yang berasal dari Siantan yang dianggap sezaman dengan Syeikh Abdul Malik bin Abdullah Terengganu/Tokku Pulau Manis (1650 M-1149 H/1736 M) dikenali dengan nama Haji Muhammad Siantan. Beberapa orang sarjana mencatat Hikayat Golam diterjemahkan dari bahasa Arab oleh seorang tokoh yang berasal dari Siantan. Beliau ialah Abdul Wahhab Siantan.
Abdul Wahhab Siantan ialah guru kepada Raja Ja’far, Yang Dipertuan Muda Riau-Lingga ke-6 (1805-1831 M). Selain dua nama ulama yang berasal dari Siantan itu, terdapat lagi dua nama yang lain. Seorang bernama Syeikh Abdullah bin Muhammad Siantan dan yang seorang lagi ialah Syeikh Abdullah bin Abdul Wahhab Siantan.
Dua versi manuskrip yang penulis peroleh di Dabo Singkep, dapat diketahui bahawa Syeikh Abdullah bin Abdul Wahhab Siantan pernah mensyarah sebuah karya Syeikh Abdullah bin Muhammad Siantan yang diberi judul Bayanu Syirki li Ilahil Haqqil Maliki yang diselesaikan pada hari Jumaat, waktu Asar, 9 Zulhijjah 1228 H, di Air Kepayang, Bandar Terempa, Tanah Pulau Siantan.
Menarik juga untuk diperhatikan maklumat dari manuskrip karya Syeikh Abdullah bin Abdul Wahhab Siantan itu, yang tercatat bahawa dalam tahun 1228 H atau yang diperkirakan bersamaan tahun 1813 M bererti Terempa yang dinyatakan sebagai ‘bandar’ atau kota kecil telah wujud.
Karya Syeikh Abdullah bin Abdul Wahhab Siantan yang merupakan syarah itu kemudian disyarah pula, dijumpai sebuah salinannya yang diselesaikan tahun 1235 H.
Jika diperhatikan kedua-dua tahun yang tercatat pada dua versi manuskrip karya Siantan itu, masing-masing bertahun 1228 H/1813 M dan 1235 H/1819 M yang bererti mendahului karya-karya tokoh-tokoh Riau yang terkenal lainnya.
Memerhatikan tahun kemunculan kedua-dua karya itu bererti pengarangnya sezaman dengan tokoh ulama dunia Melayu yang sangat terkenal Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Diperhatikan juga bahawa Raja Ali Haji pujangga Riau yang terkenal itu sewaktu ke Mekah (1243 H/1827-28 M) sempat belajar kepada ulama yang berasal dari Pattani itu.
Dengan demikian dipercayai bahawa Raja Ali Haji adalah peringkat murid pula kepada kedua-dua ulama yang berasal dari Siantan itu.
ANALISIS NASKHAH
Pada pengamatan penulis, kedua-dua manuskrip yang tersebut di atas adalah merupakan syarah dari sebuah matan yang dipercayai berasal dari Syeikh Muhammad Siantan yang disyarah pula oleh anaknya Syeikh Abdullah bin Muhammad Siantan.
Oleh sebab berasal daripada satu karya, maka pada syarah tersebut banyak persamaan dan perbezaan kandungan. Pada beberapa tempat pula antara kedua-dua naskhah mempunyai kelebihan dan kelemahan yang tersendiri.
Di bawah ini penulis nyatakan data ringkas kedua-dua versi manuskrip. Setelah itu sedikit petikan di antara bahagian kandungan atau kalimat dari kedua-dua naskhah itu.
Penulis mulai dengan Naskhah 1228 H, kandungan ringkas ialah membicarakan syirik dan tauhid menurut pandangan ahli hakikat dalam tasauf.
Karya ini merupakan syarah daripada perkataan-perkataan Syeikh Abdullah bin Syeikh Muhammad yang terdapat dalam Risalah Bayanis Syirki. Tebalnya adalah 86 halaman, 19 baris setiap halaman. Ukuran: 23.6 x 19.5 cm. Klassifikasi: Nadir, belum diketahui di mana manuskrip selain yang diperkenalkan ini tersimpan. Diselesaikan: Pada hari Jumaat, waktu Asar, 9 Zulhijjah 1228 H, di Air Kepayang, Bandar Terempa, Tanah Pulau Siantan. Keadaan Manuskrip: Lengkap, tidak terdapat kerosakan, tulisan jelas dan baik, ditulis dengan dakwat hitam dan merah.
Manuskrip di atas terdapat berbeza kalimat yang digunakan pada mukadimah jika dibandingkan versi Naskhah 1235 H. Untuk sebagai perbandingan, sebelum membicarakan Naskhah 1235 H lebih lanjut di bawah ini penulis petik mukadimah dari kedua-dua versi itu, dimulai Naskhah 1228 H tertulis, “Ada pun kemudian daripada itu, maka akan berkata yang berkehendak kepada rahmat Allah s.w.t dan ampun-Nya, iaitu Syeikh Abdullah namanya anak Syeikh Muhammad yang terlebih hina ia daripada kasut. Maka tatkala dikehendak oleh Allah akan menyampaikan Ia akan kehendakku kepada negeri Pahang bahawasanya menuntut daripada aku setengah daripada sebesar-besar manusia dan iaitu Maulana Pengulu yang amat mulia Muhsin namanya, anak Marhum Habib Abdur Rahman, Habsyi bangsanya, lagi Ba' Alawi bahawa aku perbuatkan baginya suatu risalah yang pandak daripada perkataan ulama ahil hakikat ...”.
Perhatikan perbezaan-perbezaan dengan Naskhah 1235 H yang termaktub dengan kalimat-kalimat, “Ada pun kemudian daripada itu, maka lagi akan berkata orang yang berkehendak kepada rahmat Allah dan ampun-Nya, akan Syeikh Abdullah ibnu Muhammad orang yang terlebih hina daripada kaus yang di bawah kaki segala orang.
“Maka tatkala dikehendak oleh Allah maka datanglah ke Tanah Bugis maka menuntutlah kepada kami daripada setengah orang yang besar-besar pada masa itu, lagi ia ulama pada ilmu tarekat, dan iaitu Tuan Syeikh Zainal Abidin, Qusyasyi bangsanya, Madinah nama negerinya, bahawasanya kami karangkan dia suatu risalah yang pandak, iaitu daripada segala perkataan ulama ahil hakikat...”.
Pemikiran Sheikh Abdullah Siantan
Pada awal syarahnya Syeikh Abdullah bin Syeikh Muhammad Siantan (Naskhah 1228 H) menyatakan, “Maka bahawasanya barang yang faqir suratkan dalam kertas ini akan dipersembahkan Kebawah Duli Telapakan Maulana Saiyid Muhsin itu, akan makanan orang tuha-tuha jua. Dan tiada boleh dimakan oleh kanak-kanak kecil-kecil...”.
Sesudah kalimat tersebut nampaknya ada ketegasan Syeikh Abdullah bin Syeikh Muhammad Siantan bahawa ahli syariat jauh lebih rendah martabatnya dari ahli hakikat, katanya, “Ulama ahlis syariah itu dibilangkan dia kanak-kanak jua, jika ia mengetahui ilmu empat mazhab sekali pun. Dan ulama ahlil hakikat itu dibilangkan akan dia orang tua”.
Pandangan Syeikh Abdullah bin Syeikh Muhammad Siantan yang demikian tentu saja sangat tidak disetujui oleh ahlisy syariat. Mereka sangat murka. Bagi penulis pendapat demikian ada wajarnya kerana jika kita pelajari tulisan-tulisan dan ucapan-ucapan ahlisy syariat sangat banyak tuduhan-tuduhan mereka yang mengatakan bahawa ahlil hakikat adalah sesat, zindiq, keluar dari Islam dan lain-lain sebagainya.
Pandangan Syeikh Abdullah bin Syeikh Muhammad Siantan lagi, “... Dan adalah orang yang terpedaya ia dengan ilmunya itu, mereka itulah ulama ahlis syariah yang zahir. Dan mengiktikadkanlah mereka itu dan memandakkanlah mereka itu atas barang yang diketahui oleh mereka itu akan dia. Dan menyangkalah atas bahawa tiada ada lagi ilmu yang mulia lain daripada ilmu yang sudah diketahui oleh mereka itu akan dia”.
Setelah pandangan tersebut beliau tegaskan, “Maka adalah ilmu hakikat itu seperti mutiara dalam laut tiada mengetahui akan dia itu melainkan segala orang yang kuasa menyelam dia. Dan ilmu syariat itu, iaitu ilmu yang zahir, seperti telur hayam (ayam). Harganya tiada berapa, hanya adalah ingar bangar jua mengerjakan dia. Maka mutiara itu mahal harganya besarnya tiada berapa ...”.
Ditulisnya serangkap syair dalam bahasa Arab dan diterjemahkannya, “Adakanlah akan dirimu itu seperti mutiara dalam andangnya, dalam laut yang maha dalam Dan jangan engkau seperti hinduk hayam, meletakkan ia akan telurnya yang satu, memenuhi suaranya itu dalam kampung”.
Sungguh pun demikian yang diperkatakan oleh Syeikh Abdullah bin Syeikh Muhammad Siantan pada awal kitab, namun beliau sendiri bukanlah seorang yang melalaikan syariat. Beliau adalah seorang ulama pengamal syariat juga.
Jalan pemikirannya dapat kita perhatikan kalimatnya, “... hakikat itu tiada menyalahi syariat, dan syariat itu tiada menyalahi hakikat. Dan keduanya itu bertepatan. Hakikat itu batin syariat, dan syariat zahir hakikat. Dan tarekat itu menjalani ia akan kedua-duanya itu. Makrifat itu mengenal jalan keduanya. Kerana syariat itu umpama kulit. Dan tarekat itu umpama tempurung. Dan makrifat itu umpama isi yang di dalam tempurung. Dan hakikat itu umpama minyak yang di dalam isinya itu”.
Syeikh Abdullah bin Syeikh Muhammad Siantan menegaskan bahawa semua Rasul diutus adalah untuk menegakkan syariat. Nabi Khidir a.s bertugas menzahirkan hakikat. Nabi Muhammad s.a.w adalah kedua-duanya syariat dan hakikat secara padu dan serentak.
Ditegaskannya, “Dan karena itulah difardukan oleh Allah atas Rasulullah s.a.w itu perang sabilillah dengan kafir serta dihalalkan Allah mengambil rampasan harta, halal memakan dia. Dan segala Rasul yang dahulunya perang sabil jua, tiada dihalalkan mengambil rampasan harta mereka itu dan tiada dihalalkan memakan dia”.
Syeikh Abdullah bin Syeikh Muhammad Siantan berpendapat bahawa untuk ilmu syariat terdiri bermacam-macam nama iaitu: Ilmu Syariat, Ilmu Syirik, Ilmu Ijtihad, Ilmu Maktasabah, Ilmu Istijarah, ilmu Mukallafah dan lmu Ta’lilah.
Menurutnya ilmu hakikat juga ada beberapa nama, iaitu: Ilmu Hakikat, Ilmu Tanzih, Ilmu Wahdah, Ilmu Fana’ dan banyak lagi namanya.
Demikianlah pengenalan tentang naskhah/manuskrip Siantan.
Rabu, 04 Maret 2009
Syeikh Abdullah Muhammad Siantan
Diposting oleh Jebat Sedanau di 18.37
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
0 komentar:
Posting Komentar